Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan sesuatu dengan Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh (tengah) dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) pada Program Ceramah Kelompok sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2022.

TANGKAK – Pakatan Harapan (PH) menegaskan tidak pernah membincangkan mengenai calon menteri besarnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

Jelas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu, Syed Ibrahim Syed Noh gabungan itu sudah tidak mahu berselindung di sebalik perkara itu kerana ia tidak pernah diputuskan oleh kepimpinan PH.

“Itu bukan perkara utama sebab waktu utama kita adalah untuk kita menyampaikan hasrat rakyat dalam PRN kali ini.

“Dalam ucapan pemimpin pun kita tegaskan cara kita mewakili rakyat dan membela nasib mereka dan mengangkat suara rakyat,” katanya selepas menghadiri ceramah umum gabungan itu di Pekan Bukit Gambir, Tangkak semalam.

Hadir sama adalah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kenyataan itu dilihat canggung apabila Naib Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata Majlis Presiden PH akan mengumumkan calon menteri besarnya sekiranya gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri melalui PRN Johor.

“Sehingga kini belum ada (perbincangan mengenai calon menteri besar),” katanya pada Selasa.

Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh bercakap kepada media selepas Program Ceramah Kelompok sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2022.

Awal Rabu, Anwar berkata gabungan itu hanya akan mengumumkan calon menteri besarnya tidak lama lagi, jika ia memenangi PRN Johor.

Jelas Anwar, pihaknya telah mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu dan akan menyusul satu lagi mesyuarat.

Ditanya samada langkah itu diambil kerana kekalahan teruk di PRN Melaka, Syed Ibrahim berkata situasi di Melaka berbeza dengan apa yang sedang berlaku di Johor.

“Kita tak boleh nak bandingkan secara sama sahaja. Saya rasa berbeza.

“Jadi sebab itu saya sebut kalau di sini fokus utama adalah kegagalan kerajaan untuk menangani masalah rakyat,” jelas Ahli Parlimen Ledang itu.

Semasa PRN Melaka, Anwar menamakan Adly Zahari sebagai calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika PH menang pada PRN Melaka, 20 November tahun lalu.

Bagaimanapun, gabungan itu kalah teruk apabila DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi yang disandang, Parti Amanah Negara (Amanah) menang satu daripada dua kerusinya sementara PKR kalah di kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu. – MalaysiaGazette