Calon BN N09 Gambir, Sahrihan Jani

TANGKAK – Calon Barisan Nasional (BN) N09 Gambir, Sahrihan Jani yakin beliau dapat merampas semula kerusi yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Sahrihan berkata, keyakinan itu berpandukan kepada keinginan yang dilontarkan dan disuarakan oleh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

Menurut beliau, walaupun BN ditewaskan pada PRU14 di kerusi DUN Gambir namun gerak kerja di kawasan berkenaan tidak pernah terhenti sehingga hari ini.

“Bila bercakap soal peluang, saya berkeyakinan penuh kerana PRN Johor kali ini kita melihat kepada sentimen rakyat yang sangat positif, bila kita turun ke bawah memang nampak mereka memberikan sokongan padu kepada calon dan parti.

“Jadi saya yakin dan percaya ditambah pula dengan gerak kerja berterusan, BN mampu menang di kerusi Gambir walaupun agak perit dan ‘tough fight’,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Masjid Baiturrahman, Sagil di sini hari ini.

Sahrihan yang juga seorang peguam itu berkata, rakyat mahukan sebuah kerajaan stabil dan mampu untuk mendepani apa jua masalah.

Tambahnya lagi, rakyat juga sudah muak dengan permainan drama politik yang tidak berkesudahan oleh pihak pembangkang.

“Jadi saya fikir jasa BN akan menjadi penilaian apatah lagi rakyat ketika ini mereka inginkan sebuah kerajaan yang stabil. Isu paling penting adalah sebuah kerajaan yang membela nasib dan menjaga kebajikan rakyat bukan lah drama berterusan.

“Jadi pada hari ini saya nampak kebanyakan rakyat di DUN Gambir sudah melihat bahawa BN adalah satu-satunya gabungan parti yang mampu mentadbir negara dengan baik,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kempen PRN Johor yang sudah masuk hari keenam, Sahrihan berkata, beliau menerima banyak respons yang positif daripada pengundi.

“BN sudah kembali diterima rakyat apatah lagi melihat kepada kegagalan kerajaan terdahulu, lepas kalah kita (BN) dah bagi peluang untuk mereka mentadbir dan mereka gagal.

“Hari ini di era Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar Johor), ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa BN mampu memulihkan kembali negeri ini daripada kemerosotan ekonomi,” katanya.

DUN Gambir menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sahrihan dengan calon Parti Pejuang Tanah Air, Suraya Sulaiman; calon Perikatan Nasional, Mohd Solihan Badri dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Naim Jusri.

Pada PRU-14 yang lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu bertanding sebagai calon Pakatan Harapan menang di kerusi DUN Gambir dengan majoriti 3,088 undi menewaskan calon BN, Datuk M Asojan dan calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

M Asojan merupakan bekas ADUN Gambir bagi kawasan Parlimen Ledang selama tiga penggal sebelum tewas pada PRU14. – MalaysiaGazette