Jordan Ayimbila.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) mengumumkan pemain import mereka, Jordan Ayimbila akan berangkat ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengembangkan lagi perjalanan karier bola sepak bersama pasukan baharunya, San Antonio FC.

Penghijrahan pemain itu telah mendapat persetujuan bersama pihak pengurusan Selangor FC dan ketua jurulatih pasukan utama, Michael Feichtenbeiner.

Michael yang gembira dengan pencapaian Jordan berkata, ia adalah sebahagian daripada sistem yang telah dibina di untuk pemain muda.

“Selangor FC mahu melahirkan pemain yang berpotensi dengan memberi peluang untuk mengembangkan bakat mereka baik pemain tempatan atau import.

“Jordan adalah pemain import muda yang kami tandatangani musim lalu. Kemahirannya dari segi kecergasan, kelajuan dan larian yang bagus telah diasah untuk menjadi lebih optimum ketika bersama kelab ini.

“Setelah beraksi dalam 24 perlawanan bersama pasukan utama dengan satu bantuan gol sebagai pemain pertahanan, melalui pendedahan sistem Selangor FC ini, kelab lain mula melihat potensi beliau dan ini telah membuka peluang besar bagi Jordan untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Saya turut berbangga dengan hasil dan pencapaian beliau ini dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya dalam kenyataan SFC.

Sementara itu, Jordan yang berkongsi perasaannya memberitahu, dia pada mulanya datang ke sini untuk bermain bersama pasukan Selangor FC 2 namun kemudiannya diberi peluang untuk ke pasukan utama.

“Jadi, saya sangat bersyukur dengan pengalaman yang saya dapat di sini. Saya akan menggunakan semua yang saya pelajari di sini untuk meningkatkan lagi kualiti permainan saya.

“Rakan sepasukan di sini juga sangat baik dengan saya. Terima kasih untuk sepanjang saya berada di sini. Walaupun saya tidak lagi bersama Selangor FC namun hati saya tetap dengan anda semua,” katanya.

Jordan sangat berbesar hati dengan peluang yang telah diberikan kepadanya selama bersama kem Selangor FC.

Dia berharap dapat menggunakan segala yang dipelajari di sini untuk menjadi pemain yang lebih baik di masa akan datang. – MalaysiaGazette