Skuad Malaysia B23.

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sekali lagi menjadi taruhan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memburu ‘ibu segala pingat’ pada temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei ini.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, tidak timbul sebarang isu berhubung keputusan menghantar skuad bimbingan ketua jurulatih Brad Maloney itu biar pun mereka mempunyai jadual kejohanan  padat dan hampir dengan penganjuran temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata, ia selepas barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan telah berbincang dan mengenal pasti pemain yang akan dipilih bagi menggalas cabaran negara tanpa merencatkan persiapan pasukan menghadapi Kejuaraan Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadual pada awal Jun.

Mohd Saifuddin berkata, perbincangan yang turut mengambil kira penglibatan pemain skuad B-23 untuk bersama skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 juga pada Jun, melibatkan Maloney, ketua jurulatih skuad senior Kim Pan Gon dan Pengarah Teknikal FAM Scott O’donell.

“Setakat ini, tiada sebarang masalah, ketiga-tiga individu itu dapat bekerjasama dan saling memahami kehendak pasukan masing-masing,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Setakat ini kita tidak berdepan sebarang kekangan pasukan bola sepak diletakkan dalam kategori B kerana ia berdasarkan keputusan edisi terdahulu, jadi bila kita dapat pingat insya-Allah akan ditukar menjadi kategori A,” katanya.

Skuad B-23 negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi 2019 di Filipina selepas pengendali itu berjaya membawa pasukan negara meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia meraih ‘ibu segala pingat’ adalah pada edisi 2011 di Indonesia yang menyaksikan Kim Swee mengendalikan pasukan berkenaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast