AYER HITAM – Setakat ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menamakan calon Menteri Besar Johor daripada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya, kata pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu calon-calon yang bertanding perlu menang dahulu dalam pilihan raya negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata, parti itu sudah mempunyai beberapa calon yang layak dan mampu memikul tanggungjawab memimpin Johor namun hanya akan mengumumkannya selepas 12 Mac nanti.
“Kita perlu calon-calon kita menang dulu. Barulah boleh umum. Kita sudah ada beberapa nama tapi kita tunggu dulu.
“Saya harap rakyat akan memberikan peluang dan kemenangan kepada Pejuang. Selepas dapat kita tubuh kerajaan barulah kita akan umum calon bagi jawatan Menteri Besar itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam petang ini.
Untuk makluman, sebelum ini, ada ura-ura yang mengatakan Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh bakal mengisi jawatan itu jika parti terbabit memenangi PRN Johor kali ini.
Secara tradisinya, mana-mana ketua parti negeri akan dilantik sebagai menteri besar jika parti terbabit memenangi majoriti kerusi DUN negeri.
Shahruddin yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap adalah antara 42 calon Pejuang diketengahkan dalam PRN Johor.
Dalam pada itu ketika diminta mengulas keupayaan Pejuang dalam melawan calon-calon parti lain, Dr. Mahathir yakin partinya akan mencapai kemenangan.
“Kita tengok dulu keupayaan calon-calon kita sebelum calonkan mereka pada PRN kali ini. Kerana itu saya yakin dengan kemenangan. Pengundi perlu mengundi kita yang boleh membersihkan kembali kerajaan sebelum ini ditadbir oleh kumpulan pencuri,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















