foto SAFWAN MANSOR, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan terus memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan, termasuk kontraktor-kontraktor Bumiputera, bagi mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan dalam melaksanakan Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) Laluan Lingkaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, ia dapat dicapai melalui penekanan yang lebih besar terhadap teknologi sistem rel tempatan, Sistem Binaan Berindustri dan Pemodelan Maklumat Bangunan selain peningkatan kepakaran dan kemahiran melalui pelbagai program seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Projek ini dijangka akan menjadi mangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi di seluruh negara, meningkatkan daya saing negara di rantau ini dan meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jemaah Menteri hari ini bersetuju melaksanakan projek MRT 3 serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak serta projek tebatan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia sekali gus akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi khususnya objektif kerajaan untuk memperkasakan sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan tahun ini.

Menurut Mohd Zarif, projek MRT 3 itu merupakan sebahagian daripada kesalinghubungan bagi Rangkaian Transit Bersepadu Lembah Klang di bawah Dasar Pengangkutan Negara dan komponen kritikal mobiliti pelbagai mod untuk masa hadapan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

Tambah beliau, ia akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang moden, mampu milik dan cekap untuk Keluarga Malaysia.

Laluan Lingkaran MRT3 sepanjang 50 kilometer itu merupakan jajaran lingkaran sepanjang perimeter bandar raya Kuala Lumpur.

Ia terdiri daripada bahagian bertingkat dan bawah tanah serta mempunyai 31 stesen. – MalaysiaGazette