Tuan Ibrahim Tuan Man

MUAR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencedangkan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mencari belakan sumber baharu air bagi negeri itu.

Ia susulan hasrat Pulau Pinang untuk membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) tetapi ditolak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Bagi kerajaan Persekutuan alternatif sentiasa boleh diambil dan Pulau Pinang masih boleh meneroka beberapa sumber air termasuk sumber air bawah tanah.

“Kelantan antara negeri besar yang mengambil sumber air bawah tanah, Pulau Pinang juga banyak sumber boleh diteroka. Bukan bila tiada air, negeri Perak jadi sumber Pulau Pinang. Kita tengok sumber kewangan Pulau Pinang besar,” katanya kepada media selepas hadir dalam ceramah berkelompok di Simpang Jeram yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Semalam, Saarani berkata, kerajaan negeri Perak masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan kerajaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah disebabkan keperluan domestik negeri itu masih tidak mencukupi.

Katanya, beberapa kajian telah dibuat terhadap keperluan air di Perak yang menunjukkan bahawa sumber sedia ada masih belum cukup menampung permintaan sama ada rakyat mahupun industri.

Malah pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga sudah memberikan maklum balas kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air bahawa Perak sedia membantu Pulau Pinang untuk menjual air sekiranya keperluan domestik mencukupi.

Mengulas mengenai itu, Tuan Ibrahim berkata Perak sedang bersiap sedia untuk membekalkan lagi air untuk tiga juta penduduknya menjelang 2035 kelak.

“Kerana itu dia (Saarani) melihat keperluan dalam negeri diutamakan dahulu sebab itu MB Perak buat kenyataan hasil perundingan tersebut dia tak mampu bekalkan air ke Pulau Pinang.

“Itu keputusan kerajaan negeri dan itu hak negeri, perundingan telah dibuat bahkan di utara, Perak perlukan LRA besar bagi menampung keperluan di sana,” jelas Tuan Ibrahm lagi.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow telah menyatakan hasrat untuk membeli air mentah dari Perak.

Kerajaan negeri telah membuat kajian sejak 2019 dan mendapati Pulau Pinang memerlukan sumber air alternatif menjelang 2025-2030. – MalaysiaGazette