Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara antara Singapura dan Pulau Pinang akan bermula pada 16 Mac 2022.

Inisiatif VTL udara ini membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan ulang-alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat penerbangan yang telah ditetapkan sebagai penerbangan VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, inisiatif VTL memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kesambungan pengangkutan udara Malaysia-Singapura.

Di samping itu, ia membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua negara terutamanya dalam sektor pelancongan yang telah terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif ini, yang bermula bagi laluan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah mencatat sejumlah 82,906 ketibaan pengembara dari Singapura sehingga 28 Februari 2022.

Penerbangan VTL bagi laluan baharu ini akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang akan dioperasikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, penjualan tiket penerbangan VTL akan dibuka oleh syarikat-syarikat penerbangan dalam masa terdekat.

Butiran lanjut mengenai syarat pra-pelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my manakala butiran tentang keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura boleh didapati di
https://safetravel.ica.gov.sg. – MalaysiaGazette