Ahmad Idham dan Eizlan yang ditamatkan kontrak dari Kementerian Luar mengakui tidak mengetahui apa alasan perkhidmatan mereka ditamatkan.

KUALA LUMPUR – Dua pelakon yang ditamatkan kontrak dari Kementerian Luar mengakui tidak mengetahui apa alasan perkhidmatan mereka ditamatkan.

Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof masing-masing sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif di kementerian itu.

Bagaimanapun, Ahmad Idham berkata, dalam tempoh empat bulan menggalas jawatan itu, dia berjaya mewujudkan satu unit yang mengandungi platform untuk mempromosi karya seni tempatan di kedutaan luar negara.

“Namun, ia masih dalam proses kerana perlu dilakukan secara berperingkat. Lagi pun mana ada kerja yang boleh petik hari ini, esok dah jadi. Siapa kerja dalam kerajaan, mesti tahu proses untuk wujudkan satu unit,” katanya dalam sidang video semalam.

Ahmad Idham juga menafikan menerima kelebihan setaraf diplomat seperti kereta khas dan pemandu peribadi.

“Nak kata saya dapat banyak kelebihan, tak ada pun. Saya bekerja dalam bilik kecil dan ada pasport diplomatik saja,” katanya sambil menambah beliau dan Eizlan mereka menerima surat memaklumkan perkara itu pada Isnin lalu.

Namun dalam surat itu tidak diberikan sebab kenapa mereka ditamatkan kontrak.

Lebih sedih beliau menerima surat semasa menjalani proses kuarantin di rumah ekoran Covid-19.

Sementara itu, Eizlan juga terkilan apabila beliau didakwa mahu membabitkan diri dalam politik bersama Ahmad Idham.

Katanya, perkara itu melucukan kerana pihak menteri sendiri tahu pendirian dan pandangan mereka mengenai politik.

Eizlan berkata, sepanjang empat bulan dilantik dia belum menerima sebarang gaji dan elaun.

Kedua-dua mereka akur dengan keputusan kementerian namun terkilan kerana penamatan kontrak dilakukan secara tidak mengikut prosedur biasa.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengumumkan kontrak Ahmad Idham, Eizlan dan setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi sudah ditamatkan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saifuddin enggan ulas punca dua pelakon ditamat perkhidmatan di kementeriannya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast