PDRM
Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berusia 24 hari ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, Rembau di sini sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian pada 12.39 tengah hari itu, ibu mangsa Rohaya Abu Bakar, 42, menyusukan Nurul Ain Darwisya Hanafiruz dan menidurkannya di dalam kereta sorong bayi di ruang tamu rumah mereka.

Beliau berkata setengah jam kemudian, kakak mangsa yang ingin membetulkan kain bedung Nurul Ain Darwisya mendapati adik bongsunya itu tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Ibu bayi tersebut terus membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Rembau dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada nadi dikesan serta tubuh bayi dalam keadaan telah sejuk.

“Bantuan pernafasan juga telah diberikan tetapi tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan kematiannya adalah sebelum dibawa ke hospital berkenaan. Bedah siasat akan dilakukan untuk mengetahui punca kematian bayi tersebut,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Hazri berkata doktor yang merawat mangsa turut memaklumkan Nurul Ain Darwisya dilahirkan dalam keadaan sempurna tetapi wajahnya menunjukkan tanda sindrom Down dan pemeriksaan susulan sepatutnya akan dilakukan apabila bayi itu berusia sebulan.

Beliau berkata tiada unsur jenayah dalam kes itu dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast