Zizi Kirana kini muncul dengan single terbaharu berjudul Pijak.

KUALA LUMPUR – Lagu Eh berjaya membawa nama penyanyi Zizi Kirana ke puncak kerjaya kerana mesej yang dibawa bukan sahaja menjadi bualan dalam kalangan peminat dan netizen malah memberi satu jenama baharu kepada penyanyi itu.

Keberaniannya menegur sikap segelintir pihak menerusi lirik dalam lagu bukan sekadar satu bentuk hiburan semata tapi lebih pada ingin menyatakan suara dan isi hati berkenaan apa yang berlaku di sekeliling hari ini.

Terbaharu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil muncul dengan single berjudul Pijak yang diterbitkan oleh Def Jam Malaysia selepas genap setahun bermulanya pembikinan lagu tersebut.

Menariknya, lagu hasil ciptaan Zizi bersama Navigator dan Mambang itu adalah kesinambungan kepada lagu Eh yang mana menceritakan mengenai orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dan kelemahan orang lain.

“Pendek kata, lagu ini menggambarkan sikap seseorangyang suka pijak kepala. Ini antaracara untuk saya sampaikan nasihat. Bukan nasihat untuk orang saja tapi untuk saya sendiri supaya tidak ambil kesempatan atas orang lain.

“Jadi kita saling menasihati antara satu sama lain dan sebab itulah ada kesinambungan antara lagu Eh dan lagu Pijak,” katanya wanita berusia 37 tahun.

Pijak adalah kesinambungan kepada lagu Eh yang mana menceritakan mengenai orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dan kelemahan orang lain.

Menurut Zizi, dia sudah biasa bekerjasama dengan penerbit lagu Pijak iaitu Navigator dan yakin dengan hasil lagu itu.

“Pengalaman bekerja dengan individu di dalam lagu Pijak terutama sekali di bahagian pembikinan lagu saya masih mengekalkan pasukan yang sama iaitu Mambang dan Navigator sebab saya sangat selesa bekerja dengan mereka.

“Mereka sudah tahu apa yang sesuai dengan saya dan apa yang boleh saya sampaikan. Kami memang sudah senang untuk bekerjasama. Tetapi kalau ada peluang untuk bekerja dengan orang lain saya okay sahaja. Cuma untuk single Pijak ini saya selesa untuk bekerja dengan orang yang sama.

“Dari segi muzik memang Navigator yang menjalankan tanggungjawab itu seperti biasa dan saya suka bekerja dengan dia. Untuk lagu saya selesa bekerja dengan Mambang. Sewaktu bekerja pada tahun lepas kami semua hanya melalui telefon sahaja.

“Pengurus saya pun cari waktu yang sesuai untuk lari sekejap ke studio dan terus pulang ke rumah selepas itu. Apabila semuasudah selesai dan kami satu pasukanberbincang yang lagu ini mahu dilancarkan pada tahun ini,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Pijak, Zizi yang juga pemenang kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) mengekalkan pengarah video muzik (MV) sama dengan lagu Eh iaitu Hasif Hamid yang juga dikenali sebagai Acip.

Dia turut berkongsi berdepan cabaran dalam penghasilan lagu dan video muzik itu di mana poses rakamannya tertangguh daripada tahun lepas tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu melakukan demo dirumah sahaja.

“Apabila sudah dibenarkan keluar selepas PKP barulah pergi buat rakaman di studio.

““Cabaran dalam menyiapkan lagu dan video muzik ini bermula dari tahun lepas. Macam yang saya cakap disebabkan kita PKP pada tahun lepas dan tak boleh merentas negeri. Studio saya di Klang dan saya tak boleh pergi disebabkan saya berada di Kuala Lumpur pada ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Pijak kini sudah tersedia di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Zizi Kirana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast