Perdana Mneteri mengumumkan kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini di Kem Segamat

SEGAMAT – Para pencarum Lembaga Tabung Angkatan tentera (LTAT) kini boleh meneruskan atau menamatkan caruman selepas habis perkhidmatan melalui pelan transformasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tersebut dilihat lebih fleksibel kerana pencarum boleh mengeluarkan simpanan jika menamatkan caruman.

“LTAT melaksanakan pelan transformasi dan memberikan fleksibiliti agar pencarun tentera  boleh memilih untuk meningkat kadar caruman pekerja lebih daripada 10 peratus.

“Atau, mereka boleh terus menabung dengan LTAT walalaupun sudah tamat perkhidmatan ATM, terpulang nak keluar terus wang simpannan atau nak teruskan mencarum.

”Jika terus mencarum, pencarum bakal menikmati dividen,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan kadar dividen sebanyak 4.1 peratus untuk tahun 2021 berbanding 3.5 peratus pada tahun 2020.

Katanya, jumlah agihan dividen untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM379.4 juta berbanding dengan RM310 juta pada tahun 2020.

Bagi tahun kewangan 2021, LTAT telah mencatatkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 50.2 peratus kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta yang dicatatkan pada tahun 2020.

“Peningkatan pendapatan kasar untuk tahun 2021 telah menyumbang kepada pertumbuhan berganda bagi pendapatan bersih sebanyak 182.2 peratus kepada RM381.1 juta berbanding RM135.0 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, Keuntungan Tertahan LTAT bagi tahun 2021 telah meningkat kepada RM672.6 juta berbanding RM193.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya,” katanya ketika merasmikan dan majlis penyerahan kunci Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat, Johor hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Pelan Transformasi strategik lima tahun LTAT (2019-2023) merupakan satu usaha untuk menjadikan LTAT sebagai dana simpanan persaraan yang mampu mengisytiharkan dividen yang mampan kepada ahlinya.

“Salah satu inisiatif penting yang dikenalpasti adalah melibatkan pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta TAT 101) yang juga merupakan salah satu pemangkin utama kepada keberkesanan dan keberjayaan perjalanan transformasi ini,” katanya.

LTAT ditubuhkan pada bulan Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101),  merupakan badan berkanun yang menyediakan kemudahan kepada para pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia serta anggota kerahan sukarela menabung untuk persaraan mereka. – MalaysiaGazette