Mahdzir (tengah) bercakap sesuatu ketika berkempen di kawasan Medan Selera Benteng, di sini semalam.

BATU PAHAT – Calon parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahdzir Ibrahim mengakui mengggunakan aura Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenalkan diri beliau  kepada pengundi.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah itu berkata, mendekati pengundi lebih mudah dengan menjual nama Dr Mahathir yang merupakan seorang individu banyak berjasa kepada negara.

Menurutnya, belum ada lagi sebarang penolakan daripada pengundi-pengundi yang ditemui sebaliknya, rata-rata menerima baik parti yang dinaungi oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Selama tujuh hari berkempen, belum ada penolakan. Apabila kita sebut nama termasuk kepada kaum Tiong Hwa, bila kita sebut Pejuang pengasasnya Tun semua memberitahu Tun bagus.

“Mereka rata-rata menyatakan Tun telah berjasa kepada ibu bapa mereka dan sebab itu kena sokong beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semasa mengadakan walkabout di medan selera Benteng di sini semalam.

Tambahnya, penjelasan yang diberikan kepada pengundi-pengundi adalah mahu mengembalikan semua kegemilangan negara sebagaimana yang telah dicapai oleh Dr Mahathir selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Ujarnya, langkah menggunakan nama Dr Mahathir dalam berkempen sangat berkesan dan membantunya untuk memperkenalkan diri, selain ia merupakan kelebihan kepada parti Pejuang.

Dalam perkembangan lain Mahdzir berkata, beliau berhasrat mahu memperkasakan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) di Batu Pahat dan Semerah sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat di DUN berkenaan.

Beliau yakin menerusi NGO ia mampu menarik sumber-sumber kewangan besar sama ada dari syarikat-syarikat milikan penuh kerajaan (GLC) negeri mahupun syarikat-syarikat swasta bagi digunakan untuk kejahteraan rakyat tanpa perlu bergantung kepada bangtuan yang diberikan kerajaan sema-mata

“Pendekatan begini boleh memperkasakan rakyat dalam konteks untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette