Najib Razak

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Najib Razak hari ini secara terbuka menyahut cabaran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat berhubung isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau tidak ada masalah untuk berdebat dengan Azmin selepas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menuduh dia merosakkan Felda.

Bagaimanapun, secara sinisnya, Najib berkata, beliau lebih suka berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding Azmin.

Ini kerana, soalnya, bagaimana beliau mahu berdebat dengan individu yang mukanya tidak jelas kerana ‘kabur’ dalam video.

“Susah kalau hendak debat dengan orang yang mukanya tak berapa jelas, tak terang. Jadi kalau saya nak debat lebih baik saya berdebat dengan Muhyiddin Yassin,” katanya sambil memberi amaran kepada kedua-dua pemimpin itu agar jangan tipu Felda semata-mata mahu mendapat undi.

Beliau berkata demikian ketika turun berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pagi tadi.- MalaysiaGazette