Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Sejak berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas dikatakan tidak lagi bercakap mengenai perjuangannya melaksanakan hukum hudud.

Perkara itu diakui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menyatakan, Pas tidak lagi bercakap mengenai “potong-potong”, iaitu hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu secara tidak langsung membuka mata rakyat berhubung siapa sebenarnya Pas.

Katanya, kenyataan itu juga jelas bercanggah dengan kenyataan bekas Timbalan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Harun Din sebelum ini bahawa hudud adalah nyawa Pas.

“Selama ini Pas bermatian-matian mahu melaksanakan hudud sehingga sanggup berpecah dengan DAP dan Keadilan dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana mahu membawa usul persendirian meminda Akta 355 bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Ketika itu juga, Pas sering menyatakan hudud merupakan nyawa mereka.

“Namun, apabila Pas berada dalam kerajaan persekutuan hari ini, pindaan Akta 355 ini belum dibawa ke Parlimen dan perjuangan hudud sudah tidak lagi kedengaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin kelmarin yang memberitahu majlis makan malam dengan masyarakat Cina bahawa mereka tidak perlu takut mengenai Pas kerana parti Islam itu tidak bercakap mengenai “potong, potong” (chop) dalam rujukan jelas kepada hudud yang termasuk hukuman amputasi.

Presiden PPBM itu telah menggesa rakyat menyokong mereka (PN) kerana Pas tidak bercakap mengenai potong sini dan tidak potong sana, tidak potong tangan dan potong kaki, tidak menuntut hudud.

Menurut Faiz, ini juga bercanggah dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan dalam Muktamar tahun 2020 yang menyatakan, sesiapa yang bertanya bilakah Pas akan melaksanakan hudud umpama suara syaitan.

“Adakah nyawa perjuangan Pas kini sudah tiada? Ternyata Pas sudah mengubah agenda perjuangan mereka.

“Islam yang diperjuangkan selama ini kini menjadi tin kosong setelah berkawan dengan UMNO dan PPBM sebagai kerajaan.

“Tiada satu pun dasar Islam yang dijadikan agenda negara hari ini sejak Langkah Sheraton berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Melayu Islam hanya candu politik bagi mengelirukan rakyat terutama orang Melayu, sedangkan kerajaan hari ini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan walaupun Islam mencegah keras amalan rasuah.

Ujar beliau, dakwaan Muhyiddin itu juga adalah serius dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu sudah tidak lagi memperjuangkan hudud.

“Ke manakah kompas politik Pas sekarang? Adakah nyawa Pas sudah mati sekarang? Jangan jadi seperti Muafakat Nasional (MN) yang dikatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti ditutup fail, nampak tidak hidup, tetapi tidak mati. Hudud bukan zombie,” katanya. – MalaysiaGazette