Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika hadir ke esyuarat Perhimpunan Agung tahunan k-17 Majlis Belia Malaysia di Dorsett Grand Subang, Subang Jaya. Foto MUHD NA'IM, 07 MAC 2022.

SUBANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan dana RM500,000 untuk Majlis Belia Malaysia (MBM).

Katanya, peruntukan berkenaan diberi sebagai bantuan bagi menggerakkan pertubuhan-pertubuhan di bawah MBM.

Sebagai Perdana Menteri, Ismail berkata, beliau memahami keperluan semasa MBM.

“Saya tahu keperluan belia sebab pernah jadi Menteri Belia dan Sukan dan malam ni dah jadi Perdana Menteri.

“Jadi bagi membantu dan menyokong jawatankuasa MBM yang baru dipilih untuk menggerakkan aktiviti meneruskan agenda pembangunan belia negara saya mengumumkan dana RM500,000 untuk MBM.

“Saya harap dengan dana yang diberikan ini dapat menggerakkan pertubuhan belia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-71 Majlis Belia Malaysia (MPAT MBM).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ismail Sabri berkata, beliau yakin MBM dan badan gabungannya mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program-program dan aktiviti-aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan seluruh Keluarga Malaysia bagi tahun 2022.

“Dengan kreativiti dan pendekatan ‘Dari Belia Untuk Belia’ pastinya pelbagai aktiviti yang menepati jiwa anak muda dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Terdahulu, Persidangan MPAT MBM yang berlangsung 5 hingga 6 Mac 2022 disertai oleh 385 orang perwakilan terdiri daripada Exco, Dewan Tertinggi dan badan-badan gabungan MBM dari seluruh negara.

Selain mesyuarat selama dua hari, turut berlangsung pemilihan kepimpinan baharu MBM bagi sesi 2022 hingga 2024.

Menerusi pemilihan berkenaan, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dipilih presiden baharu majlis berkenaan yang ke-22. -MalaysiaGazette