Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Sehingga kini seramai empat rakyat warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata,  mereka masih berada di Ukraine selepas evakuasi tempoh hari melibatkan tujuh rakyat wargenagara termasuk kakitangan dan tanggungan pegawai kedutaan di sana.

Katanya, ada antara mereka yang telah berkahwin dengan warganegara tempatan negara itu.

“Pihak kedutaan melalui kerjasama perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara-negara berdekatan Ukraine sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine.

“Pihak kedutaan kita sentiasa bersedia membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu.

“Bantuan yang diberikan termasuk memudah cara urusan kemasukan di sempadan-sempadan negara, urusan dokumentasi seperti pengeluaran Sijil Perakuan Cemas bagi individu yang memerlukan, memastikan keadaan serta kebajikan mereka sentiasa terpelihara, dan lain-lain urusan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertanyaan jawab lisan di Parlimen pagi ini.

Merujuk video berdurasi 45 saat yang dimuat naik dalam talian yang mendakwa sekumpulan pelajar Malaysia masih lagi terkandas di Ukraine, Saifuddin berkata, tiada pengesahan dapat dibuat  serta identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.

Namun, beliau menggesa supaya mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang belum mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan untuk segera berbuat demikian.

“Saya tekankan sekali lagi akan komitmen kerajaan Malaysia yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat kita yang menghadapi masalah di luar negara.

“Kementerian Luar Negeri, melalui perwakilan kita yang berdekatan dengan Ukraine sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu,” katanya. – MalaysiaGazette