gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan tidak seharusnya menangguhkan pembentangan undang-undang berkaitan produk vape kerana peraturan harus diperkenalkan segera bagi memastikan pengguna mendapat akses kepada produk terkawal.

Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, sehingga kini masih tiada undang-undang yang mampu mengawal penggunaan bawah umur diperkenalkan dan memastikan pengguna mendapat akses kepada produk yang berkualiti dan menepati standard keselamatan.

Sedangkan, sejak 2016, kerajaan telah menyatakan bahawa satu undang-undang akan diperkenalkan untuk mengawal selia produk vape.

”Menteri Kesihatan sebelum ini berkata bahawa satu undang-undang akan dibentangkan pada sidang Parlimen pertama tahun ini namun ia telah ditangguhkan lagi.

”Kelewatan itu bermakna masih tiada peraturan yang ditetapkan mengenai produk vape walaupun mempunyai lebih sejuta pengguna di Malaysia. Kita tidak boleh terus meminta pengguna mengakses produk tidak terkawal di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengatakan pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok ditangguhkan memandangkan ia perlu menjalani beberapa lagi sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan, termasuk industri tembakau dan vape.

Daripada menunggu pembentangan rang undang-undang di Parlimen yang masih boleh ditangguhkan, Khairil mencadangkan Kerajaan mencari penyelesaian alternatif dengan segera sekiranya serius dalam melaksanakan kawalann terhadap industri vape.

”Kementerian Kesihatan telah pun menyatakan bahawa ia bertentangan dengan peraturan semasa untuk orang ramai menghisap vape di tempat awam dan kedai makan. Ini bermakna sudah ada peraturan. Oleh itu, daripada menunggu rang undang-undang yang akan mengambil masa sangat lama, Kementerian Kesihatan harus melihat kepada memperkenalkan peraturan terlebih dahulu terutama untuk produk vape.

”Ini bagi memastikan terdapat standard kualiti dan keselamatan yang ditetapkan bagi menjaga kepentingan pengguna di Malaysia. Ia juga secara tidak langsung akan membantu Kerajaan dalam mengutip hasil cukai daripada produk vape yang sah seperti yang dibentangkan semasa Bajet2022,” tambahnya.

Menteri Kewangan telah pun mengumumkan cukai ke atas cecair vape yang mengandungi nikotin, yang telah ditangguhkan kerana rang undang-undang itu masih belum dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen.

Selain itu, beliau juga berkata undang-undang produk vape tidak boleh digabungkan dengan produk tembakau kerana kedua-dua produk ini tersebut tidak sama..

”Jika Menteri Kesihatan boleh memperkenalkan peraturan sekarang, beliau bukan sahaja dapat memastikan pengguna mendapat akses kepada produk terkawal yang memenuhi standard keselamatan dan kualiti, tetapi ia juga membolehkan kerajaan mula mengutip hasil cukai daripada produk vape.

”Jika kelewatan itu kerana Kementerian Kesihatan mahu memuktamadkan undang-undang mengenai produk tembakau, maka penyelesaiannya mudah. Apa yang Kementerian perlu lakukan ialah mengasingkan undang-undang produk vape dengan produk tembakau kerana kedua-dua produk ini tidak sama.

”Banyak negara di seluruh dunia mengawal selia vape secara berasingan daripada produk tembakau kerana ia tidak sama. Malaysia juga harus laksanakannya seperti itu,” kata Khairil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast