Calon Barisan Nasional (BN) N.15 Maharani, Noor Farah Samsudin beramah mesra dengan sebahagian anggota polis pada hari mengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Serbaguna Perumahan PDRM Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

MUAR – Proses pengundian awal yang dijalankan hari ini berjalan lancar di lima pusat pengundian awal daerah  Muar.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, setakat pukul 10.30 pagi, suasana di Dewan Perumahan Polis Parit Prupok, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tenang tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Secara keseluruhan kita ada tujuh saluran di lima pusat mengundi awal di mana di IPD Muar sahaja membabitkan 573 anggota dan pegawai.

“Di sini, kami turut menyediakan khemah jika terdapat mana-mana anggota dan pegawai yang bergejala bagi disaring sebelum dibenarkan mengundi,” katanya kepada media hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

Jelas Zaharudin lagi, seramai 1,661 anggota polis mengundi awal hari ini membabitkan anggota dan pegawai di IPD Muar, polis marin, Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri dan anggota polis di Galeri Darurat Bukit Kepong.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN), Noor Farah Shamsudin sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit di Dewan Perumahan Polis Parit Perupok, Muar.

Noor Farah berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

“Setakat hari ini saya lihat respon mereka baik dan sudah tentunya saya mengharapkan kemenangan di peti undi awal DUN Maharani.

“Tidak ada masalah yang saya lihat di sini hari ini.

“Kempen masih berjalan seperti biasa dan berbaki beberapa hari saya kena perbanyakkan lagi berjumpa pengundi dan saya akan melebihkan progran walkabout untuk menyantuni pengundi dari pintu ke pintu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tujuh saluran mengundi dibuka SPR di Daerah Muar melibatkan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. – MalaysiaGazette