Mohamad Hassan di Ibu Pejaat UMNO Bahagian Mersing semasa PRN Johor

MERSING – Barisan Nasional kini perlu menumpukan sepenuhnya usaha memecut melintasi garisan penamat bagi membentuk kerajaan di Johor pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac ini.

Ia adalah fokus utama BN ketika ini berbanding terlalu memberi tumpuan kepada sasaran kemenangan dua pertiga.

Pengarah Pilihan Raya Jentera BN Negeri Johor, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, beliau tidak peduli komen Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu BN menang dua pertiga kali ini .

Katanya, semua parti yang bertanding dalam PRN kali ini akan cuba mendapatkan kemenangan dan begitu juga dengan BN akan cuba sedaya upaya untuk menang.

“Bagi saya dua petiga ke atau tidak itu lain cerita, sekarang apa yang perlu kita buat supaya melintasi garis penamat itu dulu, dah lintas garis penamat kita boleh tubuh kerajaan.

“Semua parti masuk bertanding PRN ini bukan suka-suka, tapi nak menang dan menubuhkan kerajaan, jadi apa SUA PN (Hamzah Zainudin) cakap itu adalah hak dia dan biarlah dia bercakap.. Saya bukan orang yang sepatutnya komen mengenai kenyataan dia.

“Kita (BN) pun cuba sedaya upaya BN akan terus bekerja kuat dan memastikan di Mersing ini kerusi DUN Endau dan Tenggaroh akan kita kekalkan sebagai kawasan kepunyaan BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pertemuan bersama Jentera BN Mersing di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Mersing di sini.

Ditanya potensi jumlah kerusi menang untuk BN, Timbalan Pengerusi BN itu menambah, pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk melibatgandakan kempen mendekati pengundi di setiap kawasan.

“Esok kita buat dry run untuk kita benar-benar mengenal pasti bacaan di lapangan yang akan dikendalikan untuk calon kita semua.

“Bacaan itu akan membantu kita dan dari situ kita boleh membuat perbandingan antara ‘dry run’ pertama dan kedua kemudian di situ akan dapat gambaran lebih jelas kedudukan kita yang sebenarnya insyallah,”tegasnya.-MalaysiaGazette