Saarani Mohamad

PAGOH – Sentimen ‘kluster mahkamah’ yang digunakan pembangkang tidak menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mendapat kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah serangan seperti itu hanyalah taktik lama yang tidak  memberi kesan besar kepada BN, kata Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Tidak mustahil (menang) walaupun agak sukar. Tetapi tidak mustahil.

“Lihat Najib punya gelombang. Dia boleh menembusi sekolah Cina dan masuk ke flat. Ke mana dia pergi, rakyat beri sokongan…itu gambaran bahawa rakyat merindui kerajaan BN,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, sentimen pengundi di Johor dilihat seakan sama sebagaimana yang berlaku pada PRN  Melaka.

Ujarnya, bukan sahaja orang Melayu malah pengundi dalam kalangan masyarakat Cina juga turut memberi sokongan kepada BN.

“Mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat untuk dapat membangunkan negeri Johor. Jadi, nampaknya, mereka akui bahawa sudah ada pengalaman dengan BN kemudian orang kata nak tukar sekejap tukar selera, bagilah pada PH, 22 bulan tetapi telah gagal.

“Kemudian daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin pun nampak tidak berjaya,” ujarnya.

Saarani berkata, serangan ke atas Najib yang dilakukan oleh pembangkang hanya membuang masa dan ia merupakan satu pembaziran.

Tambahnya, Najib bukan bertanding pada PRN di Johor atau memegang jawatan Presiden UMNO.

“Jadi. apahal mereka nak ‘menembak’ dia (Najib) bukan-bukan. Dia bukan nak jadi Menteri Besar,” jelasnya.

Justeru katanya, rakyat Johor wajar memberi peluang kepada BN kerana parti ini ada agenda besar untuk berbuat kebajikan kepada mereka. – MalaysiaGazette