Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk membahaskan kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan Lembah Klang baru-baru ini.

Usul tersebut akan dibahas pada persidangan sesi petang bermula pukul 1 tengah hari ini sehingga selesai.

Terdahulu, usul berkenaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun (Pakatan Harapan) yang berkata, ianya melibatkan kepentingan orang awam ekoran banyak kereta yang telah rosak akibat ditenggelami banjir kilat.

Ujar beliau, isu tersebut perlu dibincangkan oleh Ahli Dewan Rakyat agar masalah banjir kilat dapat ditangani.

Usul itu kemudian dikemukakan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya mengemukakan usul ini bagi membolehkan usul Bukit Bintang dirunding dalam mesyuarat hari ini dan selepas itu diteruskan dengan perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan menerima usul mengenai banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di ibu negara semalam dan memberi jaminan perkara itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beluau berkata telah menerima notis mengenai usul itu daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzi daripada Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette