Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Guru interim Bahasa Inggeris (BI) yang dilantik pada 22 April 2019 dan tamat tempoh kontrak pada 21 April ini akan diserap secara lantikan tetap jika memenuhi syarat Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) serta lulus temuduga.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bermula tahun ini, urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap ‘proficient’ (mahir) iaitu tahap CEFR C1.

“Ini kerana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu.

“Ia termasuklah mahir berbahasa Inggeris pada tahap ‘independent proficiency’ seperti yang ditakrifkan oleh CEFR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi guru interim BI yang akan tamat tempoh lantikan interim pada 21 April ini tetapi tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka akan ditemuduga dalam masa terdekat untuk lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Bagaimanapun, mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Mohd Radzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. – MalaysiaGazette