Calon DAP N.48 DUN Skudai Marina Ibrahim

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai Marina Ibrahim disahkan positif Covid-19.

Keputusan itu selepas beliau melalui ujian kendiri pada Isnin lepas.

Menerusi hantaran pada akaun Twitter rasminya hari ini, ahli DAP itu turut memaklumkan beliau sedang menjalani kuarantin di rumah serta menunggu hasil ujian RT-PCR.

Bagaimanapun semangat Marina untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak luntur dan akan menggunakan media sosial untuk berhubung dengan pengundi Skudai sepanjang tempoh kuarantin.

“Saya berharap anda semua akan terus memberi sokongan kepada saya dan pasukan kempen saya sehingga hari pengundian nanti. Pasukan saya akan meneruskan kempen walaupun dengan ketiadaan saya secara fizikal,” ciapnya.

Marina berdepan pertandingan tiga penjuru antara Lim Soon Hai yang mewakili Barisan Nasional dan calon Perikatan Nasional (PN) Khoo Kong Ek dalam pengundian Sabtu ini.- MalaysiaGazette