Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

MUAR – Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor yang dibentangkan pada 1 Mac lalu merupakan usaha bertanggungjawab parti berkenaan dalam memperkasakan setiap golongan berdasarkan bidang dan sektor mereka.

Ia juga menjadi tawaran yang memenuhi aspirasi serta suara anak muda menerusi Orang Muda Johor (OMJ), di samping perancangan yang tersusun untuk mengembalikan Johor ke landasan peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, besar harapan para pengundi di zon utara Johor supaya manifesto yang diumumkan itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Peniaga kedai runcit, Muhammad Fitri Abdullah, 26, berkata, ikhtiar khusus bagi OMJ merupakan antara tawaran paling menarik daripada kesemua lima teras yang diumumkan.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah bekerja di Tanjung Pelepas namun mengambil keputusan untuk berhenti bagi membantu ibunya menguruskan perniagaan di pekan Bukit Gambir.

Muhammad Fitri Abdullah. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

“Tawaran itu bersifat realistik serta sangat menarik, diharap semua anak-anak muda di Johor dapat merebut peluang yang ada.

“Manakala kepada yang baru mendirikan rumah tangga pula, tawaran-tawaran sedemikian sudah tentu dapat membantu mereka pada awal perkahwinan terutamanya kepada keluarga yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Muhammad Fitri turut berharap situasi politik negeri menjadi semakin stabil setelah berakhirnya PRN Johor selain keadaan ekonomi menjadi semakin rancak dan rakyat dapat bebas seperti sebelum pandemik Covid-19.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, Julita Balkis Md Sailan, 19, pula mahu setiap tawaran membabitkan golongan muda dan pelajar sekolah dapat dilaksanakan sebaik mungkin oleh BN sekiranya parti itu berjaya mendapat mandat dari rakyat menerusi PRN Johor.

Jelas remaja itu, pemberian bantuan kewangan tahunan RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000 sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan yang ditanggung ibu bapa.

Julita Balkis Md Sailan. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

“Bagi saya itu sangat membantu terutama pelajar yang menghadapi masalah kewangan, nanti susah pula mereka hendak ‘catch up’ pelajaran lebih-lebih lagi sekarang kita memerlukan komputer riba dan akses Internet untuk kelas secara online,” ujarnya.

Tambah Julita lagi, dia juga mengharapkan barisan kepimpinan yang bakal memegang tampuk pemerintahan negeri Johor kali ini dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda.

Ini kerana katanya, terdapat pertambahan jumlah pengundi dalam PRN Johor menerusi pelaksanaan Undi 18 dan sudah semestinya golongan anak muda ini memerlukan peluang pekerjaan yang lebih terjamin buat mereka.

“Harapan saya selepas habis PRN ini, dapat lah membantu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak terutama sekali untuk anak muda yang berusia 18 tahun ke atas kerana mereka kini sudah boleh menjadi pengundi,” katanya.

Bagi seorang suri rumah, Norain Aziz, 32, di kala ekonomi sedang merosot akibat impak dari Covid-19, rakyat sememangnya memerlukan pelbagai bantuan yang dapat menyokong dari segi kelangsungan hidup.

Norain Aziz. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

“Mereka yang masih bujang atau pun berumah tangga ambil lah peluang yang yang ditawarkan selagi ada, bagi yang dah berkeluarga macam kami ini, Bantuan Prihatin Rakyat memang sangat diperlukan kerana suami saya pun hanya berniaga sendiri jadi dari situ dapat lah tambah sedikit sebanyak.

“Kalau boleh kita juga mahu bakal pemimpin selepas ini memperluaskan lagi bantuan perumahan kepada semua rakyat kerana itu antara keperluan bagi mereka yang sudah mempunyai keluarga,” katanya yang merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

Manakala seorang pengurus jualan, Samsul Bahari Johari, 38, berpendapat projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mampu membawa limpahan ekonomi yang sangat besar buat semua rakyat khususnya di Johor.

Samsul Bahari Johari. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

“Majoriti rakyat nak kan projek itu dijalankan kerana kita akan menerima banyak kelebihan selain memudahkan mereka yang bekerja dan melakukan perjalanan ke Singapura.

“Kalau projek berjaya, maka dari segi ekonomi secara tidak langsung rakyat Johor akan dapat menikmati hasilnya, kita tengok sahaja macam mana nanti,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan dari sudut kesihatan, Samsul turut bersetuju mengenai pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) yang dianggap mampu mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital-hospital sedia ada.

“Mungkin ada pesakit dari Muar perlu di hantar ke Johor Bahru kerana fasiliti yang lebih lengkap jadi pembinaan hospital baharu merupakan antara perkara bagus yang kita perlu sokong,” katanya.

Buku Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

Ikhtiar BN Johor bagi PRN Johor yang bertemakan Kestabilan Masa Depan menggariskan lima teras utama membabitkan kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk OMJ, ikhtiar untuk membudayakan pentadbiran berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan reformasi politik.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, Ikhtiar OMJ merupakan segmen masyarakat paling penting bagi Johor.

Menurut beliau, antara inisiatif itu termasuk bantuan kewangan tahunan RM500 kepada semua mahasiswa Johor daripada keluarga B40 dan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada OMJ yang layak dengan harga sewa berpatutan di kawasan strategik. – MalaysiaGazette