Dewan Rakyat Parliament Proclamation of Emergency Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Aktiviti penggunaan tanah termasuk pertanian khususnya tanaman kontan boleh diusahakan di kawasan yang terletak dalam koridor talian pembekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebarang aktiviti pertanian atau kegunaan tanah perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah, selain memenuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST) berdasarkan garis panduan Izinlalu Talian Pembekalan Elektrik.

Jelasnya, tiada istilah tanah rizab TNB, sebaliknya hanya tanah yang terletak dalam laluan talian pembekalan elektrik yang mempunyai perjanjian izin lalu yang masih dimiliki pemilik tanah dan TNB hanya pemegang lesen untuk memasang atau menyelenggara talian bekalan elektrik.

“Individu yang berminat untuk mengusahakan tanah ini perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah iaitu pihak berkuasa negeri bagi tanah milik kerajaan negeri dan sekiranya tanah itu milik persendirian, perlu mendapat kebenaran pemilik melalui sewaan atau pajakan.

“Kebenaran daripada TNB juga diperlukan sebagai pemegang lesen bagi memastikan garis panduan yang ditetapkan ST itu dipatuhi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata sebagai contoh, garis panduan ST berkenaan menyatakan tanaman yang diusahakan mestilah mempunyai ketinggian tumbesaran semula jadi tidak melebihi 1.8 meter atas faktor keselamatan.

Katanya antara aktiviti lain yang boleh diusahakan di kawasan tanah itu ialah dijadikan padang ragut ternakan, kawasan kolam tadahan, kolam udang, kawasan letak kereta serta untuk pemasangan paip air.

Beliau menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) mengenai sama ada petani dibenarkan menanam tanaman jangka pendek di rizab tanah TNB untuk mengatasi masalah keselamatan makanan.- BERNAMA