Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Dua individu termasuk seorang pesara mengalami kerugian berjumlah RM390,500 akibat diperdaya sindiket Macau Scam dalam dua kes berasingan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua individu berkenaan semalam.

Jelas beliau, kes pertama membabitkan seorang pesara yang kehilangan wang simpanan RM148,000 selepas diperdaya menerusi panggilan dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai pendakwa raya.

“Wanita itu mendakwa mangsa terlibat dalam kes rasuah dan penggubahan wang haram sebelum meminta mangsa memberi kerjasama daripada elak diberkas.

“Susulan itu, suspek mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank baru dan memindahkan semua wang miliknya ke akuan tersebut bagi tujuan siasatan serta elak wang tersebut dirampas.

“Mangsa mengikut segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya berjumlah RM148,009 sebelum memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila wang dalam akaunnya telah dikeluarkan secara berperingkat sebelum tampil membuat laporan.

Dalam kes berasingan, Mohd Radzi berkata, seorang individu diperdaya kononya terlibat dalam kes tuntutan palsu insurans serta dadah oleh lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen insurans.

Kata beliau, mangsa diarahkan mengaktifkan semula satu akaun bank miliknya dengan memasukan RM280,000 sebagai wang jaminan daripada elak diberkas.

“Mangsa telah memindahkan wang simpanan dan pinjaman berjumlah RM242,500 ke akaun tersebut sebelum memberikan maklumat perbankan kepada suspek.

“Susulan itu, mangsa cuba mendapatkan baki wang jaminan berjumlah RM37,500 daripada ahli keluarganya dan ketika itu baru dia sedar menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

“Selain itu, semakan dengan pihak mendapati wang yang dipindahkan mangsa RM242,500 telah dikeluarkan melalui transaksi pindahan wang sebelum dia tampil membuat laporkan polis,” tegas beliau.

Kata Mohd Radzi, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai agensi kerajaan mahupun swasta berhubung kesalahan jenayah.

Selain itu, orang ramai juga diminta tidak mendedahkan sebarang maklumat perbankan bagi mengelakkan akaun bank dimanipulasi oleh sindiket penipuan. – MalaysiaGazette