Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU – Kerisauan melangit Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung calon Menteri Besar Johor Barisan Nasional (BN) seolah-olah Perikatan Nasional (PN) sudah mengakui BN akan mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, daripada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sibuk menentukan siapa calon BN yang bakal mengangkat sumpah sebagai menteri besar (MB) adalah lebih baik beliau ‘menyelongkar’ untuk mencari calon MB daripada gabungannya.

“Sibuk cerita pasal parti lain buat apa? Dah habis modal kempen ke?,” kata Nur Jazlan yang tidak berminat untuk melayan kenyataan Wan Saiful kerana sekadar mahu tarik perhatian, selain cuba menganggu keputusan pengundi.

Menyifatkan taktik Wan Saiful itu begitu murah, selain nampak terdesak terutama menjelang hari pengundian dua hari lagi.

Tetapi, sayangnya, kata Nur Jazlan, ‘usaha keras’ Wan Saiful itu menampakkan kegusarannya terhadap kemaraan BN sepanjang 12 hari berkempen.

“Kenyataan-kenyataan dia menunjukkan kebimbangan amat dahsyat. Dan di pihak UMNO dan BN pula tak minat nak layan orang meroyan,” ulasnya.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya mahu meletakkan Datuk Mohd Puad Zarkashi sebagai Menteri Besar Johor.

Alasan beliau kerana Puad merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Semasa saya ke Rengit baru-baru ini, saya mendengar khabar bahawa Datuk Mohd Puad Zarkashi telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Datuk Hasni Mohamad sekiranya UMNO menang,” katanya.

Hari ini, Wan Saiful dalam tulisannya berkata, pengundi Johor mesti berfikir serius apa akan jadi kepada negeri Johor jika Puad menjadi menteri besar.

”Saya pun asalnya tak peduli sangat jika dalam diam Puad bercita-cita tinggi. Saya hanya menceritakan apa yang saya dengar semasa saya ke Rengit,” ujarnya. – MalaysiaGazette