kemalangan maut melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun apabila kereta dipandu terjunam setinggi kira-kira 20 meter dari Jambatan Syed Abdul Aziz di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.

MELAKA – “Saya terkejut melihat kereta remuk teruk bersama seorang lelaki warga emas yang sudah berlumuran darah akibat terjatuh dari jambatan terbabit.

“Saya tidak berani pergi dekat kerana terlalu takut sebaliknya terus menghubungi talian kecemasan.”

Itu diceritakan saksi kemalangan maut melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun apabila kereta dipandu terjunam setinggi kira-kira 20 meter dari Jambatan Syed Abdul Aziz di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan diterima pada jam 9.26 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota termasuk sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati sebuah kereta dalam keadaan remuk dipercayai terjunam daripada jambatan bersama pemandunya seorang lelaki Cina berusia 65 tahun.

“Pemandu tersebut kemudian disahkan oleh petugas perubatan meninggal dunia dan operasi mengeluarkan mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette