Mohd Halim Harun dijatuhi hukuman menjalani kerja khidmat masyarakat selama dua jam sehari selama tiga bulan. #malaysiagazette

MELAKA – Seorang buruh terlepas hukuman penjara sebaliknya dijatuhi hukuman menjalani kerja khidmat masyarakat selama dua jam sehari selama tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri di sebuah pasar raya di Cheng, di sini, minggu lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd Halim Harun, 52, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret, di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri pelbagai barangan termasuk ubat gegat, mi segera, pakaian dalam dan masker wajah bernilai RM83.82 milik Pasar Raya Lotus Cheng pada jam 9.15 malam pada 5 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati telah beredar melepasi kaunter bayaran bersama 11 barangan milik pasar raya berkenaan yang disedari pembantu pengurus pasar raya.

Tertuduh didapati telah memasukkan barangan terbabit antaranya dua pek mi segera, pakaian dalam, ubat gegat dan masker wajah ke dalam beg sandang sebelum dia ditahan di pintu keluar pasar raya terbabit.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai tukang pasang kanopi yang perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah selain isteri yang tidak bekerja.

Tertuduh juga dalam nada sebak menjelaskan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar semua barangan keperluan rumah yang dicuri itu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Mazana menjatuhkan hukuman melakukan kerja kebajikan dua jam sehari selama tiga bulan mengikut Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Pindaan 2021) berserta jaminan RM1,000 tanpa cagaran.

Sekiranya gagal mematuhi hukuman berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman asal wajib penjara dan denda di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pada April tahun lalu, Warta Kerajaan mengenai Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 202 yang diterbitkan Jabatan Peguam Negara memperkenalkan pindaan kepada Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954.

Ia menyatakan mahkamah boleh, selain hukuman atau komital berkenaan, membuat perintah kehadiran wajib yang menghendaki seseorang hadir setiap hari di pusat yang mereka harus melakukan kerja wajib selama tempoh tidak lebih 12 bulan dan tidak lebih empat jam setiap hari.

Mahkamah harus mempertimbangkan karakter individu terbabit, sifat dan keseriusan kesalahan dan semua keadaan lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette