KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang bergelar “Datuk” dan sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas 81 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ahli perniagaan, Datuk Ab Aziz Abdullah, 44; kakaknya Anita Abdullah, 47; dan suami Anita, Muhammad Semail, 43; Abu Yazid Mohd, 38; serta Mohd Hariza Mohd Yusof, 34; masing-masing ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan dua hakim pada hari ini.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Ab Aziz, sebagai Pengarah Sepakat Hidayah Sdn Bhd didakwa atas 41 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.98 juta antaranya memiliki wang tunai di dalam akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) lima anak lelakinya serta menggunakan wang milik syarikat itu untuk membeli beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes Benz GLA 43, GMC Yukon XL, Toyota Vellfire dan Range Rover Sport.

Selain itu, tertuduh juga didakwa memiliki kondominium dan apartment di Jalan Bukit Setiwangsa dan Setapak selain membeli ruang pejabat di Taman Melawati, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Lembaga Tabung Haji, Jalan Tun Razak; Pejabat Sepakat Hidayah Sdn Bhd di Taman Melawati; Taman Ukay Perdana; Setapak antara 13 Februari 2015 dan 6 April 2021.

Anita pula didakwa atas 15 pertuduhan iaitu memiliki wang dan menggunakan beberapa cek bagi membeli beberapa unit kondominium serta beberapa unit lot kedai sekitar Taman Melati dan Taman Melawati di sini yang kesemuanya bernilai RM5.06 juta yang merupakan hasil aktiviti haram.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antaranya di Public Islamic Berhad di Taman Melawati, Permodalan Nasional Berhad Jalan Tun Razak dan Lembaga Tabung Haji Jalan Tun Razak di sini antara 1 Mei 2015 hingga 6 April 2021.

Sementara itu, Abu Yazid menghadapi tiga pertuduhan iaitu memiliki wang simpanan tetap RM22,568.50 di akaun Public Islamic Bank Berhad dan memperoleh dua buah kereta mewah jenis Range Rover dan Mercedes Benz melalui pembayaran yang dibuat secara tunai dan cek berjumlah RM319,347,35 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Sentul dan dua premis di Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak antara 5 Mac 2019 hingga 1 Julai 2021.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Mohd Hariza didakwa atas sembilan pertuduhan memiliki wang berjumlah RM1.37 juta di dalam beberapa akaun bank dan menggunakan wang RM111,500 melalui sekeping cek jurubank CIMB Bank Berhad dan sekeping cek Public Bank Berhad sejumlah RM79,997.33 sebagai sebahagian daripada bayaran pembelian sebuah kereta jenis Toyota Velfire yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu beberapa lokasi termasuk CIMB Bank Berhad Cawangan Taman Melawati dan di Pejabat TJM SDN BHD serta Permodalan Nasional Berhad di Jalan Tun Razak antara 14 Februari 2020 dan 1 Julai 2021.

Mohd Hariza dan Ab Aziz turut didakwa bersama-sama memiliki wang tunai sebanyak RM559,779.15 di dalam akaun semasa CIMB Bank Berhad milik syarikat Sepakat Hidayah yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.

Muhammad pula berdepan 11 pertuduhan pengubahan wang haram termasuk memiliki wang berjumlah RM764,516.23 di dalam beberapa akaun bank selain memiliki wang tunai mata wang pound sterling berjumlah GBP2,000 dan mata wang euro berjumlah EUR1,300 serta memiliki seutas jam tangan berjenama Rolex dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk membeli beberapa buah kereta mewah termasuk Mercedes AMG GT, GMC Yukon XL dan Range Rover.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi antaranya di Setapak, Wangsa Maju, Ampang dan Sungai Penchala antara 19 Mac 2018 hingga 6 April 2021.

Muhammad dan Abu Yazid, sebagai pengarah Syarikat Panorama Indeks Sdn Bhd turut didakwa bersama-sama memiliki wang tunai RM28,985.13 milik syarikat tersebut yang merupakan hasil aktiviti haram di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.

Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ab Aziz diikat jamin RM400,000, Anita, Muhammad dan Mohd Hariza masing-masing RM250,000 serta Abu Yazid RM150,000 kesemuanya dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 20 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nik Hasline Hashim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif. – Bernama