M. Saravanan

SEBERANG JAYA – Malaysia dan Indonesia akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 17 Mac ini, untuk pengambilan pekerja asing dari Indonesia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, MoU itu akan ditandatangani kedua-dua pihak, bagi membenarkan kemasukan pekerja domestik dari Indonesia ke negara.

Menurutnya, isu yang berkaitan gaji minimum, skop pekerjaan serta penggunaan sistem yang sah telah selesai dibincangkan.

“Kita telah mencapai persetujuan dalam beberapa isu dan akhirnya MoU untuk pekerja domestik ini akan lakukan di Bali, Indonesia 17 Mac,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Saravanan merasmikan Forum Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Kasar dianjurkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), yang turut dihadiri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Pada 6 Februari lepas, media melaporkan rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017, masih gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat dengan MoU yang dijadual dimeterai kedua-dua negara pada 8 Feb ditangguhkan.

Saravanan berkata, pihaknya juga telah menerima 200,000 permohonan untuk pengambilan pekerja dari negara Bangladesh.

“Kami telah menerima permohonan untuk pengambilan pekerja dari Bangladesh dan kini sedang dalam proses penapisan,” katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, memandangkan buruh paksa terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, pihaknya bertekad untuk menangani isu itu dengan segera dan menjadikannya sebagai komitmen peribadi.

“Ini termasuk meratifikasi Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa ILO, 1930, dan mematuhi 11 petunjuk yang digariskan oleh ILO dalam konvensyen itu, termasuk menyediakan pekerja dengan persekitaran hidup yang kondusif.

“Untuk itu, Kementerian juga mewajibkan majikan yang ingin menggajikan pekerja asing mematuhi sepenuhnya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” katanya.

Sementara itu mengenai isu pengambilan pekerja di restoran nasi kandar, Saravanan berkata, kuota pekerja asing di kedai-kedai nasi kandar akan kekal sama, walaupun ada dalam kalangan kedai akan dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Saya ingin menyeru pengusaha nasi kandar ini untuk mempertingkatan pengambilan pekerja tempatan, kerana kuota pengambilan pekerja asing akan kekal sama dan tidak ditambah,” katanya.

Beliau turut menyeru pengusaha restoran nasi kandar ini meningkatkan tahap kebersihan tandas mereka dalam usaha menjaga kesihatan masyarakat. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast