Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang penjawat awam mengalami kerugian lebih RM126,000 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Elias Omar berkata, terdahulu wanita berusia 38 tahun yang berasal dari Pokok Sena itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Cyberjaya.

Beliau berkata, wanita itu diberitahu kononnya sebuah syarikat HRC Global yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai berjumlah lebih RM36,000 yang perlu dibayar.

“Wanita itu menafikannya, namun dia kemudiannya dihubungi oleh seorang individu mengaku anggota polis, yang memberitahu kononnya wanita itu turut terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta penyeludupan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, wanita itu telah diarah membuat semakan melalui pautan yang diberikan oleh suspek melalui aplikasi WhatsApp, wanita itu menekan pautan berkenaan sebelum mengisi butiran diri, akaun Bank Islam serta Tabung Haji miliknya.

Elias berkata, keesokan harinya wanita telah menerima pesanan ringkas daripada Bank Islam yang menyatakan bahawa terdapat transaksi pindahan wang berjumlah RM38,800 ke akaun yang tidak diketahui.

“Transaksi pindahan wang juga berlaku pada akaun Tabung Haji miliknya yang berjumlah RM87,788 dan jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung ialah RM126,588,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu kemudiaanya telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar, semalam dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama