KUALA LUMPUR – Stok minyak sawit mentah (MSM) terus menyusut, turun 0.28 peratus kepada 784,471 tan metrik pada Februari 2022 daripada 786,663 tan metrik pada Januari 2022, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam satu kenyataan hari ini, MPOB berkata jumlah inventori minyak sawit turun 2.12 peratus bulan ke bulan kepada 1.52 juta tan metrik berbanding 1.55 juta tan metrik, dengan inventori minyak sawit yang diproses menyusut 4.01 peratus kepada 733,82 juta tan metrik daripada 764,49 juta tan metrik sebelumnya.
Pengeluaran MSM jatuh 9.26 peratus kepada 1.14 juta tan metrik pada Februari 2022 daripada 1.25 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Ia berkata, eksport minyak sawit berkurangan 5.32 peratus kepada 1.10 juta tan metrik pada Februari 2022 daripada 1.16 juta tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala eksport minyak isirung sawit jatuh 32.14 peratus kepada 56,095 tan metrik berbanding 82,667 tan metrik sebelumnya.
Eksport oleokimia juga menyusut 1.3 peratus kepada 228,322 tan metrik daripada 231,336 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala eksport biodiesel meningkat 52.43 peratus kepada 44,777 tan metrik daripada 29,375 tan metrik sebelumnya. – MalaysiaGazette