KUALA LUMPUR – Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melahirkan kebimbangan terhadap kes kematian dalam tahanan yang kian meningkat dari semasa ke semasa.

Menurut kenyataan bersama gegar dan Suaram, daripada kes Muhammad Hidayat Abdul Halim, ramai yang turut menjadi mangsa kematian dalam tahanan pada tahun ini yang mana terdapat 12 kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam tempoh kurang daripada tiga bulan.

“Pihak kami memandang serius terhadap isu ini dan berikutan itu, kami telah menyerahkan satu memorandum yang disokong oleh lima puluh buah kumpulan masyarakat sivil kepada Ketua Polis
Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 11 Februari 2022.

“Empat tuntutan mengenai peningkatan kes kematian dalam tahanan pada tahun ini telah dibentangkan dan diterangkan secara terperinci oleh pihak kami,” katanya badan bukan kerajaan (NGO) itu, hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Muhammad Hidayat yang merupakan seorang buruh binaan berusia 44 tahun meninggal dunia ketika dalam tahanan di balai polis di Pekan, Pahang, 48 jam selepas ditangkap.

Tambah kenyataan itu, kedua-dua NGO itu telah menghantar satu surat temu janji kepada pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bagi mengatur satu mesyuarat bersama wakil-wakil daripada kumpulan masyarakat sivil pada 24 Februari 2022.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ke hari ini, Suaram dan gegar masih belum menerima sebarang maklumbalas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JIPS.

“Kami ingin menegaskan bahawa pihak masyarakat sivil sentiasa terbuka bagi sebarang cadangan tarikh dan masa yang bersesuaian dengan pihak JIPS untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

“Kami berharap agar pihak JIPS dapat mengatur suatu mesyuarat dalam masa yang terdekat agar satu penyelesaian tuntas dapat dilaksanakan bagi menangani isu kematian dalam tahanan sekaligus mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Suaram dan Gegar menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis
(IPCMC) dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan koroner di Parlimen secepat mungkin untuk menangani kes kematian dalam tahanan.

Jelasnya, kedua-dua NGO itu akan terus memantau dan mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera mengenai perkara tersebut. – MalaysiaGazette