ABDUL Majid (kanan) menunjukkan gambar dua beradik yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam tujuh aktiviti penipuan termasuk penjualan lampin pakai buang bayi membabitkan kerugian bernilai lebih RM3.29 juta ketika sedang bercuti di sebuah inap desa mewah di Ayer Keroh, Melaka Ahad lalu.

MELAKA – Polis Melaka memberkas seorang lelaki bersama adik perempuannya selepas dipercayai terbabit dalam tujuh aktiviti penipuan termasuk penjualan lampin pakai buang bayi membabitkan kerugian bernilai lebih RM3.29 juta.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, kedua-dua suspek berusia awal 30-an itu ditahan ketika sedang bercuti di sebuah inap desa mewah di Ayer Keroh di sini Ahad lalu.

Tambahnya, dalam serbuan itu polis berjaya merampas tiga buah telefon bimbit dan sekeping kad keahlian parti politik tertera nama suspek dengan gelaran ‘Datuk’ yang dipercayai palsu.

Menurut beliau siasatan mendapati, dua beradik terbabit terlibat dalam 75 kes penipuan di seluruh negara melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM3,298,135 sejak 2005 sehingga 2017 sekaligus menjadi rampasan terbesar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka tahun ini.

“Daripada 75 kes berkenaan, dua kes berlaku di Melaka pada Jun 2016 apabila dua mangsa berusia 30-an ditipu dalam urusan membekalkan lampin pakai buang kepada ejen-ejen jualan di bawahnya melibatkan keseluruhan kerugian RM850,886.

“Hasil soal siasat, suspek utama lelaki didapati menggunakan pelbagai modus operandi dalam penipuan lain iaitu urusan pembelian kereta, komputer riba tidak wujud, sewaan kereta, pakej telefon bimbit, pakej pelancongan, jongkong emas dan set aksesori motosikal.

“Siasatan lanjut mendapati, perancang utama penipuan adalah suspek lelaki manakala adik perempuannya berperanan sebagai pemilik akaun bank yang digunakan untuk tujuan pemindahan wang daripada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dan Ketua JSJK Superintendan E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, siasatan lanjut mendapati modus digunakan kedua-dua suspek ialah dengan mengiklankan tawaran menarik produk di Facebook (FB) untuk dihubungi mangsa.

“Selain harga yang murah suspek menggunakan pelbagai taktik licik lain untuk meyakinkan mangsa termasuk membuktikan mereka mampu menyediakan produk seperti lampin pakai buang seperti dijanjikan pada tempahan awal.

“Bagaimanapun apabila tempahan semakin tinggi, suspek mula memberi pelbagai alasan sebelum menghilangkan diri dengan cara berpindah ke negeri lain dan melakukan aktiviti penipuan produk atau perkhidmatan lain pula,” katanya.

Tambahnya, susulan itu, suspek lelaki direman sehingga esok manakala adik perempuannya diberi jaminan polis selama sebulan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan menyeluruh masih dijalankan terhadap suspek utama bagi mengenal pasti penglibatannya dalam kes-kes penipuan lain,” katanya. – MalaysiaGazette