Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menamatkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) selepas Kementerian Kewangan melakukan penambahbaikan dasar layanan cukai terhadap pendapatan luar negara.

Penamatan PKPP itu berkuat kuasa hari ini.

”Keputusan untuk menamatkan PKPP ini dibuat setelah mengambil kira pengecualian cukai yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan terhadap pendapatan daripada punca luar negara yang diterima di Malaysia oleh individu pemastautin (selain pendapatan perkongsian).

”Layanan pengecualian yang sama juga diberikan kepada pendapatan dividen daripada punca luar negara yang dibawa masuk oleh syarikat dan perkongsian liabiliti terhad,” katanya dalam kenyataan di sini.

LHDNM menambah, pengecualian ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) yang akan dikeluarkan di bawah seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Walau bagaimanapun, pendapatan punca luar negara lain yang tidak dikecualikan dan dibawa masuk ke Malaysia mulai 1 Januari 2022 hendaklah dilaporkan di dalam Borang Nyata bagi tahun taksiran yang berkaitan.

Pendapatan luar negara yang masih tertakluk kepada cukai dan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dikenakan cukai pada kadar konsesi 3% seperti mana yang diumumkan melalui Bajet 2022 dan diperuntukkan di bawah Akta Kewangan 2021.

Selepas tamat tempoh tersebut, kadar cukai asal akan terpakai mengikut kategori pembayar cukai yang berkenaan. – MalaysiaGazette