Anggota polis membawa keluar seorang mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika tinjuan Malaysia Gazette di Taman Bukit Permai2 Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022

AMPANG – Polis telah mengenal pasti identiti empat mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 semalam.

Mangsa pertama adalah pekerja Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), mendiang A. Mahendran berusia 36 tahun.

Tiga lagi mangsa yang meninggal dunia adalah E. Ramadamy Ehinapian, 58, Mohd Saiful Ridzuan Ishak, 37, dan Chong Siew Kim, 85.

Kesemua mereka merupakan penghuni rumah di Taman Bukit Permai 2.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua yang maut  disiasat di bawah kes mati mengejut (SDR).

Selain itu, identiti seorang mangsa yang cedera adalah dikenal pasti sebagai Cheng Kim Cheng, 85, yang juga merupakan penghuni dikawasan perumahan berkenaan.

Sementara itu Farouk berkata, pihaknya menyediakan balai bergerak di kawasan perumahan berkenaan bagi memudahkan penghuni yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh semalam membuat laporan polis.

Tambah beliau, pihaknya turut membuat kawalan selama 24 jam bagi memastikan keselamatan rumah-rumah yang dikosongkan buat sementara.

“Selain daripada kawalan keselamatan polis juga menyediakan unit pondok untuk penduduk buat laporan polis jadi penduduk tidak perlu ke balai,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyarankan penghuni 48 buah rumah di taman berkenaan perlu mengosongkan rumah sementara waktu demi faktor keselamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast