Antara barang yang dirampas polis Brickfields daripada suspek pecah rumah.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu, termasuk seorang perempuan, awal pagi ini kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Kampung Pasir, di sini, pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam insiden jam 4.50 petang 7 Mac lalu pengadu dimaklumkan oleh suaminya mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon bergegas pulang ke kediamannya, Dsand Residence.

Setibanya di kediamannya, mangsa mendapati mangga yang dipasang di pintu grill besi rumah telah hilang dan tingkap di tandas dalam keadaan terbuka, ujar beliau.

Selain itu, katanya, pengadu juga melihat kesan tapak kasut di ruang koridor luar rumah berhampiran tandas dan semua bilik serta ruang tamu dalam keadaan berselerak.

“Pengadu dalam kes ini telah kehilangan barang-barang berharga berupa beg tangan berjenama, pelbagai jam tangan berjenama, wang tunai RM10,000, peralatan elektronik, komputer riba dan barangan kemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amihizam, jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan kira-kira RM150,000.

Tambah beliau, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur telah berjaya menimbulkan lima kesan cap jari dan satu kesan tapak kasut.

Katanya, suspek yang berumur antara 30 hingga 41 tahun itu disyaki menggunakan tangga untuk bergerak dari satu aras ke aras lain.

Amihizam berkata, salah seorang daripada tiga suspek yang
ditangkap itu mempunyai 23 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette