KUALA LUMPUR – Hubungan perdagangan dua hala, pandemik COVID-19, kerjasama pelaburan, perkembangan geopolitik antarabangsa dan isu serantau antara yang dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bertemu mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe malam tadi.

Menerusi hantaran Facebooknya, Ismail Sabri berkata kerajaan menghargai lawatan Abe yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun ke negara ini yang menggambarkan keakraban hubungan kedua-dua negara, terutamanya sempena meraikan ulang tahun diplomatik ke-65 Malaysia-Jepun tahun ini.

“Tahun ini ialah Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Malaysia antara satu destinasi pelaburan yang strategik dan menarik bagi syarikat Jepun.

“Dasar ini telah menyumbang kepada pembangunan sumber manusia, peluang pendidikan dan latihan di universiti-universiti dan syarikat-syarikat Jepun, terutamanya dalam bidang berkemahiran tinggi dan teknologi canggih,” katanya.

Ismail Sabri berkata Malaysia juga komited dengan inisiatif penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

— BERNAMA