Keadaan lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menganalisa pergerakan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, menggunakan teknologi penderiaan jauh atau remote sensing angkasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, analisa berkenaan dibuat menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Beliau berkata, tujuh jenis maklumat berkaitan penderiaan jauh dan imej satelit boleh memberi maklumat awal berkaitan pergerakan tanah sekali gus membantu menangani risiko berkaitan tanah runtuh seperti kejadian di Taman Bukit Permai 2, Khamis lalu.

“Sebelum ini, sudah berlaku kejadian sama (tanah runtuh) di Kemensah dan kami pernah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menerusi ‘System E-Slope’ yang membantu berkaitan pembangunan cerun.

“Ini adalah kerjasama MYSA dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, MOSTI berperanan memberikan maklumat yang diperlukan menggunakan satelit sekali gus membantu kerajaan dalam membuat keputusan dan lain-lain.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast