Mayat pekerja subkontraktor DBKL maut dilanggar pemandu mabuk ketika melakukan kerja memotong pokok kecil di pembahagi jalan di Jalan Kuching. foto ihsan polis.

KUALA LUMPUR – Pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut dilanggar pemandu mabuk ketika melakukan kerja memotong pokok kecil di pembahagi jalan di Jalan Kuching berhampiran bulatan Kepong,  awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian yang berlaku pada jam 3.15 pagi telah mengakibatkan mangsa yang berusia 74 tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kemalangan berlaku apabila Toyota Sienta yang dipandu dari arah pusat bandar mengubah haluan ke kanan lalu melanggar kon, lori dan pekerja subkontraktor DBKL yang sedang melakukan kerja memotong pokok kecil di pembahagi jalan.

“Selepas kemalangan itu, pemandu lelaki berusia 24 tahun itu cuba melarikan diri namun tidak berjaya apabila ditahan orang awam berdekatan Taman Wahyu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, suspek telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian.- MalaysiaGazette