PRN Johor
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat bertanyakan khabar petugas media yang membuat liputan PRN Johor.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meninjau perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang mula dibuka pada 8 pagi tadi.

Ismail Sabri yang tiba di Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, Kempas, iaitu satu daripada 1,021 pusat mengundi dibuka hari ini, pada 1.55 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat dari perkarangan luar sekolah itu.

Perdana Menteri turut dilihat mengadakan pertemuan dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Datuk Ramlee Bohani.

Ramlee berdepan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Napsiah Khamis Maharan (Pakatan Harapan), Nornekman Osman (Parti Pejuang Tanah Air), Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Turut kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor.

Sementara itu, dalam hantaran di Twitter beliau, Ismail Sabri bersyukur proses pengundian yang berlangsung hari ini lancar dan teratur.

“Meninjau PDM Taman Siantan, DUN Kempas bersama calon Barisan Nasional, Datuk Ramlee Bohani. Jumpa Aisyah (jurufoto Nur Aisyah Mazlan) daripada NSTP yang sedang bertugas. Alhamdulillah proses mengundi di sini lancar dan teratur,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melakukan tinjauan di luar perkarangan pusat mengundi bagi DUN Kota Iskandar di Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini, dekat Skudai.

Ismail Sabri tiba di tempat pengundian pada 2.30 petang dan berada di sana kira-kira 10 minit, serta bergambar dengan beberapa pengundi yang selesai menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi itu.

— BERNAMA