PRN Johor
Suasana di sekitar pusat mengundi di Johor pada waktu petang d Perling, Johor Bahru . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang positif COVID-19 dikenakan kompaun kerana hadir di tempat mengundi Pilihan Raya Negeri Johor di Dewan Kampung Melayu di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata siasatan awal pihaknya mendapati wanita itu positif COVID-19 Kategori 2.

Wanita berkenaan dikenakan kompaun pada 11.45 pagi oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi kesalahan pengundi positif COVID-19 hadir di tempat mengundi.

“Pihak JKN sentiasa komited menjalankan pemantauan Prosedur Operasi Standard Pilihan Raya Negeri Johor. Kami ingin mengingatkan bahawa individu positif (COVID-19) adalah dilarang untuk keluar dari tempat isolasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Aman berkata kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan kompaun mengikut Peraturan16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dewan Kampung Melayu adalah antara pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Larkin.

— BERNAMA