KLUANG – Kecewa dengan kekalahan tipis 133 undi selain 655 undi rosak di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, MIC akan mengemukakan petisyen pilihan raya dalam masa terdekat.

Kata Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, calon Barisan Nasional (BN) dari partinya akan segera mengemukakan rayuan agar pengiraan undi bagi kerusi itu dibuat dengan betul.

“Calon BN MIC kita kalah dengan 133 undi dengan adanya lebih 650 undi rosak pula. Angka undi rosak ini juga agak tinggi, jalan terbaik adalah membuat petisyen kepada mahkamah.

“Sebelum ini kita telah buat bantahan tetapi saya diberitahu bahawa bantahan itu seharusnya dibuat mengikut saluran-saluran sepatutnya jadi kita bawanya ke mahkamah, pada masa ini pengamal undang-undang mengkaji isu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran

Kerusi DUN Bukit Batu dimenangi oleh calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern dengan 9,417 undi manakala Suppayah pula memperoleh 9,302 undi.

Selain Bukit Batu, MIC turut bertanding di Kemelah, Kahang dan Tenggaroh di mana parti komponen BN itu memperoleh kemenangan. 

Bagaimanapun Vigneswaran berkata, beliau bangga kerana penguasaan kerusi di DUN Bukit Batu yang kebanyakan pengundinya terdiri daripada masyarakat Cina, justeru biarpun tewas dengan 133 undi pencapaian Suppayah dilihat memberangsangkan.

“Persaingan sengit tetapi syabas kerana calon kita telah berikan yang terbaik, ini juga antara motivasi untuk MIC untuk menyumbang lebih kerusi pada pilihan raya untuk BN kelak.

“Kerja keras parti sejak 2018 sebenarnya membuahkan hasil, rata-rata masyarakat bukan sahaja kaum India tetapi yang lain-lain juga mengiktiraf MIC. Tetapi kita tidak mahu bermegah sebaliknya mengandakan usaha kita untuk dan demi rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Sokongan masyarakat India kepada BN bukan retorik – Vigneswaran