Papan iklan Barisan Nasional dipasang untuk bertujuan meraih undi para penduduk sebagai kempen mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2022.- Gambar hiasan.

MUAR – Rakyat Johor khususnya di daerah ini menganggap kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam bukan suatu perkara mengejutkan.

Ini kerana rata-rata pengundi mahu mengembalikan semula mandat kepada BN selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH) menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

PRU-14 menjadi kemuncak kehendak rakyat yang mahu  angin perubahan setelah berpuluh tahun berada di bawah pemerintahan BN namun pada PRN Johor kali ini mereka kembali menyatakan sokongan semula kepada BN.

Seorang pengundi, Mohd Hasim Mohd Hassan, 44, berkata, kemenangan melebihi dua pertiga yang diraih oleh BN menjadi petunjuk bahawa rakyat mahu gabungan parti itu kembali memerintah.

Mohd Hasim Mohd Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.

“Inilah yang rakyat Johor mahu (BN) bangkit lagi setelah kegagalan yang lama, lagi pun semua calon yang diketengahkan di kawasan utara Johor ini merupakan anak tempatan jadi ia memberi satu kelebihan kepada mereka untuk menang pada PRN Johor kali ini.

“Kita sebagai rakyat juga berharap supaya tidak ada lagi aksi melompat-lompat macam katak kerana dalam masa lima tahun lagi inilah yang terbaik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Parit Tengah hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Mohd Fauzi Md Saeim, 35, mengharapkan sebuah kerajaan negeri yang stabil setelah rakyat mengharungi proses pilihan raya yang adil serta telus.

Menurut peniaga kedai makan itu, BN juga perlu mempamerkan bukti kepada rakyat bahawa pilihan mereka dalam PRN Johor adalah satu keputusan yang tepat.

Mohd Fauzi Md Saeim. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.

“Saya sebagai seorang anak muda mengharapkan pembangunan yang elok, wajar dan pesat di negeri Johor ini setelah kembali dipimpin oleh BN.

“Di era baharu ini juga sudah tentu rakyat juga mahu sebuah negara yang aman dan makmur serta kerajaan negeri yang stabil.

“Ini juga keputusan yang kami harapkan kerana BN selama ini pun banyak membantu rakyat selain menjadi sumber inspirasi kepada golongan belia,” ujarnya.

Bagi Salina Abdul Rahman, 47, setiap rakyat mempunyai pandangan dan suara yang berbeza namun ia telah diterjemahkan menerusi PRN Johor semalam.

Salina Abdul Rahman. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.

Sebagai salah seorang pengundi, Salina mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

“Kalau tanya saya, saya mahu suara wanita ini turut sama diangkat selain beri lebih perhatian kepada ekonomi, survival rakyat selain mengawal harga barang.

“Di kala ini, jika pendapatan hanya RM1,200 memang tidak cukup tapi sebab itu kita ada wakil rakyat untuk mereka suarakan apa yang rakyat mahu. Kita sudah tak nak janji kosong tapi nanti tiada apa-apa yang berlaku,” ujarnya.

Manakala, Siti Painah Menan, 58, berkata, seorang wakil rakyat yang dipilih haruslah cakna kepada masalah yang dihadapi penduduk terutamanya di kawasan luar bandar.

Siti Painah Menan. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.

“Macam kami di sini pilih Datuk Fuad Takirin (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Naning) berbanding parti lain kerana kita tahu beliau boleh buat kerja dan boleh diharap.

“Apa yang penting adalah rajin turun padang dan bantu mereka yang susah baru lah betul sebagai wakil rakyat,” katanya.

Semalam, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga, selepas keputusan penuh PRN Johor.

Ini menerusi kejayaan BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti PH sebanyak 11 kerusi DUN, Perikatan Nasional (3) manakala Parti Keadilan Rakyat dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia masing-masing satu kerusi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Johor lebih maju daripada Singapura nanti tak Caya tengoklah … Kalau UMNO ada disingapura tentu Singapura lebih maju dari sekarang . Sekarang UMNO akan buktikan dijohor dalam masa setahun . Tak perlu masa panjang orang bijak buat kerja .

Comments are closed.