Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat, Datuk Seri Syed Sis Syed Abdul Rahman (kiri) melakukan serahan tugas kepada wakil rakyat baharu, Aznan Tamin (kanan) di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kompleks Penghulu Mukim Pantai Timur, Pengerang, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

PENGERANG – Tidak lagi bergelar wakil rakyat namun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat, Datuk Seri Syed Sis Syed Abdul Rahman mahu membantu penggantinya, Aznan Tamin meneruskan usaha membela rakyat di kawasan itu.

Bagi memastikan kawasan itu terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), beliau komited membantu Aznan, 37, menyelesaikan beberapa isu utama rakyat di sini termasuk infrastruktur terjejas akibat mendapan tanah dan isu pemilikan rumah.

“Simbolik penyerahan tugas kepada Aznan, wakil rakyat baharu Tanjung Surat agar usaha saya ini dapat diteruskan dan mencari penyelesaian terbaik kepada masalah keretakan rumah di Taman Bayu Damai serta infrastruktur seperti jalan, parit, pembentungan, semua terjejas.

“Masalah asasnya ialah mendapan, usaha ini kita tak boleh buat kata orang bila ada sesuatu keretakan dan sebagainya, pergi tampal, perkara sudah berlaku dan sampai sekarang tak selesai.

“Bila Aznan mengambil alih, saya harap dia dapat teruskan, Insya-Allah saya bantu dia dari belakang supaya penyelesaian di Taman Bayu Damai diatasi secara total jangka panjang, bukan main tampal-tampal macam itu saja.

“Insya-Allah saya sudi membantu Aznan, bukan hal ini sahaja, kalau ada perkara yang dia tak pasti boleh rujuk kepada saya, saya akan bantu demi kebaikan orang Pengerang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kompleks Penghulu Mukim Pantai Timur, di sini, hari ini.

Terdahulu Syed Sis melakukan serahan tugas kepada Aznan, Adun Tanjung Surat baharu di pejabatnya termasuk serahan beberapa dokumen kerja-kerja membaikpulih Taman Bayu Damai yang terjejas akibat mendapan tanah.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Sis memberi jaminan isu perumahan dan infrastruktur itu mendapat bantuan daripada beberapa institut pengajian tinggi yang sedang melakukan penyelidikan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya telah mendapat khidmat daripada Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan harapan mereka boleh membantu kita membuat kajian apa yang menyebabkan rumah-rumah ini retak, jalan mendap, parit patut mengalir ke kiri, bukan ke kanan sekarang.

“Perkara seperti ini perlukan kajian, cari penyelesaian kekal, usaha ini perlukan penyelidikan dan institut ini telah membuat cadangan,” katanya.

Selain itu, dalam memastikan Parlimen Pengerang khususnya DUN Tanjung Surat kekal menjadi majoriti dihuni orang Melayu, kerajaan negeri perlu menyelesaikan isu pemilikan rumah.

“Saya tengok kerajaan negeri akan buat Lembaga Perumahan, ini semua akan membantu, kita kena serius, mungkin dari segi premium tanah kena tengok balik, mungkin kena rendahkan premium untuk orang kampung.

“Kita buat rumah RM400,000 nak buat apa, siapa nak beli, kita kena buat rumah harga RM100,000 ke bawah, lepas itu cara mungkin sewa-beli, sistem yang membantu mereka memiliki rumah dengan cara mudah,” katanya.

Kerajaan Negeri Johor juga perlu bersikap tegas terhadap pemohon rumah mampu milik untuk memastikan pembayaran balik pemilikan rumah secara sewa-beli dipatuhi.

“Saya kecewa juga bila orang kampung ini diberi peluang memiliki rumah dengan sistem sewa-beli, macam-macam dia tak bayar, ini tak bertanggungjawab.

“Bayaran bulanan RM120 sebulan pun tak bayar, bila kerajaan nak ambil tindakan, mengadu kepada wakil rakyat, mengadu kat penghulu, mengadu kat kerajaan negeri.

“Apa yang mereka buat mereka tak sedar, bila dia buat macam itu, dia tak bayar, usaha kerajaan buat rumah macam ini untuk orang lain terjejas.

“Saya harap perumahan untuk rakyat di sini, buka lagi tanah-tanah untuk dibangunkan, sama ada swasta mahupun agensi kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette