Kejadian tanah runtuh yang berlaku di laluan Pulau Betong ke Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau baru-baru ini.

BALIK PULAU – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan bagi mengatasi beberapa masalah membabitkan keadaan jalan raya dari Pulau Betong ke Pantai Pasir Panjang, di sini.

Presiden CAP, Mohiden Abdul Kader berkata, ia berikutan keadaan jalan raya itu yang tidak diselenggara dengan baik dan dikhuatiri membimbangkan keselamatan pengguna.

Jelas beliau, tinjauan CAP juga mendapati laluan sepanjang dua kilometer itu bukan sahaja dipenuhi semak samun tetapi penghadang jalan juga sudah roboh dan tidak diperbaiki.

“Saliran dipenuhi halangan, cetek dan sempit manakala di kawasan bukit berhampiran pula terdapat beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku sebelum ini.

Laluan tersebut turut dipenuh sampah sarap.

“Masalah itu boleh menyebabkan air melimpah dan bertakung di atas jalan raya ketika hujan serta membahayakan keselamatan orang ramai yang melalui jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, CAP percaya jika keadaan jalan itu tidak diberi perhatian atau tindakan segera, ia boleh mengundang perkara yang tidak diingini.

Kata Mohideen, masalah hakisan dan kejadian tanah runtuh juga mungkin boleh berulang pada masa akan datang.

“Hutan berhampiran buka saja akan terancam malah air laut di persisiran pantai juga dikhuatiri tercemar disebabkan sisa lumpur jika langkah pencegahan dan kerja membaik pulih keadaan di tempat itu tidak dilakukan segera.

“CAP memandang serius masalah ini bukan saja kerana keindahan alam semula jadi tempat itu tetapi kerana ia juga menjadi tumpuan orang ramai beriadah dan laluan utama ke Kem Wawasan Negara.

“Sehubungan itu CAP menggesa supaya sistem pembuangan sampah di kawasan berkenaan diurus dengan baik supaya tidak mencemarkan kawasan berkenaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast