Tengku Zafrul Abdul Aziz personal emergency Parliament no-show
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pendirian perundangan daripada Jabatan Peguam Negara bahawa formula Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai kerana kajian semula ke atas pemberian khas telah dijalankan dan dipersetujui.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persetujuan itu dicapai bersama di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi tempoh 1969 hingga 1973.

Kata beliau, perbezaan pendirian perguaman antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang sekian lama mengakibatkan persetujuan bersama tidak tercapai sejak tahun 1973.

“Dengan itu kadar pemberian Seksyen 112D telah kekal pada tahap RM26.7 juta sejak tahun 1973.

“Sebagai tambahan, pegawai di Kementerian Kewangan juga akan merujuk kepada Perlembagaan khususnya bahawa pemberian khas tertakluk kepada kemampuan kewangan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja di Parlimen petang ini.

Menurut Tengku Zafrul, cadangan berdasarkan asas 40 peratus akan mengakibatkan kedudukan defisit semasa iaitu perbelanjaan mengurus melebihi hasil dan tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.

Kedudukan itu, katanya, tidak boleh dibenarkan berlarutan lagi dan kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian di bawah Seksyen 112D kepada Sabah dan Sarawak.

“Ini bukanlah kata-kata kosong. Kerajaan telah membuktikan kemajuan dapat dicapai dengan mengambil pendekatan pragmatik.

“Pada Disember 2021, Perjanjian Kerjasama Komersil telah berjaya dimeterai antara kerajaan Sabah dan Petronas yang akan memacu pembangunan sektor minyak dan gas di negeri itu serta telah menyumbang kepada hasil tambahan RM1 bilion cukai jualan negeri yang diterima,” katanya.

Mengenai perkara yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah iaitu Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), beliau berkata, ia disebabkan perbezaan pendirian perguaman antara kerajaan Sabah dengan Persekutuan.

Katanya, akibat perbezaan pendirian perguaman itu mengakibatkan persetujuan bersama tidak tercapai sejak tahun 1973.

“Tetapi, saya yakin pendekatan seperti yang kita buat iaitu Perjanjian Kerjasama Komersil yang telah dimeterai antara Sabah dengan Petronas boleh juga dibuat di kerajaan negeri.

“Jadi, pendekatan seumpama ini dan semangat jalinan kerjasama yang erat antara Persekutuan dan Sabah pada masa ini akan dapat menghasilkan kata sepakat dalam pemberian khas bawah Seksyen 112D.

“Dengan itu, dalam tempoh terdekat dalam tahun ini, Kerajaan Persekutuan akan dapat membayar tahap pemberian khas Seksyen 112D yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette