Pemuda Amanah Nasional akan tanggung kos Badal Haji untuk Allahyarham Muhammad Adib.
Kerajaan hari ini sudah menerima laporan interim daripada Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini sudah menerima laporan interim daripada Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu tiga bulan dari tarikh ditubuhkan dan telah dibentangkan hari ini.

Beliau yang merupakan pengerusi jawatankuasa berkenaan telah mendengar pembentangan laporan interim yang merupakan laporan kemajuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Khas Teknikal.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Jawatankuasa Khas Teknikal terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Kamardin Hashim; Pakar Perunding Patologi Forensik Kanan Royal of Surgeons Ireland and University College Dublin Malaysia Campus (RUMC), Penang, Prof. Madya Datuk Dr. Bhupinder Singh Jeswant Singh; Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Pakar Perunding Patologi Kanan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Ulung Datuk Dr. Looi Lai Meng; dan Pakar Kriminologis Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Kehormat Datuk Dr. Sundramoorthy M. Pathmanathan.

Jawatankuasa itu turut dianggotai wakil dari Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Menurut Dr. Wan Junaidi, laporan interim itu telah dibentangkan oleh Prof. Madya Kehormat Dr. Sundramoorthy selaku Setiausaha Jawatankuasa Khas Teknikal.

“Laporan interim ini adalah berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan yang telah diambil oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam mendapatkan fakta lanjut berkaitan kes ini.

“Proses pencarian fakta itu dilaksanakan secara intensif sejak Januari lalu dengan kerjasama polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Peguam Negara.

“Proses ini penting bagi memastikan laporan yang dihasilkan dapat diterjemahkan dengan telus, adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menerusi mesyuarat kali kedua itu, menurut Wan Junaidi, Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah memutuskan untuk mendapatkan kerjasama daripada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti bergambar serta video kejadian.

Selain itu, katanya, mereka yang tidak berpeluang tampil ke depan untuk memberi maklumat boleh menghubungi sektretariat di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang iaitu Yusof Ali di talian 03-8885 1920 atau emel [email protected] dan Sanjeetha Nair 03-8885 1209 atau emel [email protected].

Sebagai rujukan, penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan itu telah dipersetujui pada 8 Disember 2021 dan mesyuarat pertama diadakan pada 21 Disember 2021.

Jawatankuasa Khas Siasatan juga telah bersetuju dengan penubuhan suatu Jawatankuasa Khas Teknikal yang dapat membantu dalam proses pencarian fakta.

Katanya, laporan akhir akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya. – MalaysiaGazette